mutakhir

Dugaan ibu tunggal jaga dua anak OKU, seorang lagi terlantar [METROTV]

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu perumpamaan sesuai buat seorang ibu tunggal yang terpaksa menjaga dua anak lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) dan seorang anak perempuan sakit terlantar.

Faezah Hamid, 41, tinggal di Kampung Kala, dekat sini, mengakui dia tetap tabah menghadapi situasi itu dan membahagi masa dengan tugasan mencari rezeki.

Menurutnya, walaupun bekerja sebagai pembantu di kedai makan berhampiran rumahnya, ia tidak menjadi halangan untuk berulang-alik ke rumah memberi makan kepada tiga anaknya itu.

Katanya, anak perempuan sulungnya, Nor Farihan Salwani Ibrahim, 22, pengidap penyakit (SLE) atau radang sendi dan tidak boleh berjalan.

"Dua anak lelaki iaitu Mohd Haikal Ikwan, 18, adalah OKU saraf manakala Mohd Syafiq Nasaruddin, 15, OKU minda (lembam) dan bersekolah di sekolah kelas pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara.

"Bagaimanapun, anak ketiga daripada empat beradik iaitu Nor Fatin Sarmila, 16, sihat serta normal dan dia yang belajar di SMK Tengku Bendahara membantu membersih pakaian dan mengemas rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Sebelum itu, keluarga terbabit menerima kunjungan rombongan Kelab Jalinan Ikatan Kasih (JIK) Gua Musang yang diketuai pengerusinya, Shamsina Ahmad Kamal.

Menurut Faezah, Nor Farihan Salwani menghidap penyakit radang sendi sejak tiga bulan lalu selepas kematian bapanya, Ibrahim Senik akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Katanya, sebelum dikesan menghidap penyakit radang sendi terdapat bengkak luar biasa di seluruh tubuh dan selepas itu tidak boleh berjalan terus terlantar.

"Saya terpaksa menjaga mereka semua disamping bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM20 sehari.

"Pendapatan sekitar RM600 sebulan itu digunakan untuk membayar sewa rumah RM100 sebelum dibelanjakan untuk menyediakan makanan anak dan saya reda menghadapi semua ujian ini," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Bank Islam milik Nor Farihan Salwani bernombor 03063020461654 atau hubungi Faezah di 017 8133296.

Disiarkan pada: December 30, 2020 @ 12:10pm
d