mutakhir

Kenyataan Ismail Sabri mengenai Zoo Melaka tidak tepat - Exco

Oleh Hassan Omar

Ayer Keroh: Kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kononnya pengunjung Zoo Melaka gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19, adalah tidak tepat, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Sebaliknya, beliau menegaskan, SOP berkenaan amat ditekankan pihak pengurusan Zoo Melaka bagi membantu mengelakkan penularan pandemik Covid-19 dan ia dipatuhi pengunjung.

Menurutnya, selain memastikan hanya pengunjung memakai pelitup muka dibenarkan masuk ke dalam zoo, jarak fizikal antara mereka sentiasa dipastikan dalam keadaan menepati SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, ketegasan itu menyebabkan ada pengunjung merungut kerana mendakwa SOP amat ketat hingga menyukarkan pergerakan mereka dari satu tempat kurungan haiwan ke kurungan lain.

"Kenyataan beliau berdasarkan laporan (yang diterimanya) dan bukan turun ke bawah dan ini tidak benar kerana semua SOP sudah dipatuhi.

"Kedudukan (pengunjung) dijarakkan antara satu keluarga dengan keluarga lain, malah ada rungutan dalam kalangan pengunjung bahawa SOP dilaksanakan amat ketat," katanya melalui aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ismail Sabri, semalam yang antara lain mendakwa, pengunjung Zoo Melaka gagal mematuhi SOP ketika menyaksikan persembahan.

Berdasarkan video klip sidang media Ismail Sabri mengenai langkah keselamatan berkaitan pandemik Covid-19 yang tular di Facebook, Ismail berkata:

"Pengunjung zoo di Melaka menonton persembahan, tetapi tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan (fizikal).

"Ini contoh jelas apabila kita beri kelonggaran, mereka menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan."

Zoo Melaka menambah produk pelancongan dengan menyediakan Taman Tema Dinosaur Encounter sejak Jumaat lalu dan berjaya mencatatkan kehadiran 6,516 pengunjung sepanjang dua hari pertama ia mula beroperasi.

Ketika mula dibuka pada 25 Disember lalu, seramai 3,056 pengunjung dicatatkan dan meningkat kepada 3,460 orang sehari kemudian dan ia dijangka terus mencatatkan kehadiran pengunjung tinggi menjelang hujung bulan ini.

Sebanyak sembilan kes positif Covid-19 dicatatkan di Melaka, semalam menjadikan keseluruhan 305 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, di sini.

Disiarkan pada: December 30, 2020 @ 2:07pm
d