mutakhir

MAIWP cadang penerima bantuan guna kaedah 'cashless'

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merancang kaedah baharu pembayaran tanpa tunai (cashless) untuk penerima bantuan bulanan bagi mendapatkan barangan keperluan harian di kedai dan pasar raya terpilih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia bakal memberi manfaat kepada lebih 26,000 asnaf dengan peruntukan RM 93.6 juta selama dua tahun.

Menurutnya, beliau juga sentiasa memastikan agensi-agensi di bawah tanggungjawabnya akan menambahbaik usaha untuk dimanfaatkan seluruh umat Islam.

Katanya, soal kebajikan dan kemaslahatan umat Islam sentiasa menjadi keutamaannya.

"Penerima bantuan akan dibekalkan dengan kad (debit) yang perlu ditunjukkan ketika mereka membuat pembayaran.

"Insya-Allah pada tahun hadapan, MAIWP merancang untuk membantu penerima bantuan bulanan mendapatkan barangan asasi di kedai dan pasar raya terpilih secara 'cashless'," katanya ketika memuat naik ciapan di Twitter, hari ini.

Bermula Januari sehingga November lalu, MAIWP sudah mengagihkan wang zakat berjumlah RM623.6 juta kepada asnaf di Wilayah Persekutuan.

Zakat berkenaan diagihkan melalui antara 30 skim bantuan agihan menerusi institusi pendidikan dan perlindungan serta prasarana umat Islam.

Disiarkan pada: December 30, 2020 @ 4:54pm
d