mutakhir

Lebih 16 kg 'Very Good' syabu dirampas [METROTV]

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Hidup mewah dua penganggur lelaki tempatan akhirnya terbongkar apabila kedua-dua mereka ditahan selepas didapati mendalangi rangkaian pengedaran dadah, kelmarin.

Dalam operasi jam 6.35 petang di sekitar kawasan Lido Four Seasons Residence, di sini, kedua-dua lelaki berusia 28 dan 38 tahun terbabit ditahan sepasukan polis yang melakukan serbuan hasil maklumat risikan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika ditahan, polis berjaya merampas 17 bungkusan plastik berisi syabu seberat 16,745.08 gram di dalam sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

Katanya, setiap bungkusan dadah yang bertulis 'Very Good' itu disembunyikan di dalam sebuah kotak yang dibalut secara rapi dipercayai untuk diedarkan kepada pembeli.

"Semua dadah yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM669,803 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Berdasarkan jumlah dadah ini, polis percaya ia berupaya memenuhi permintaan seramai 84,000 penagih dalam satu-satu masa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, siasatan turut mendapati, kedua-dua lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah rentas sempadan demi untuk hidup mewah dengan cara mudah.

Katanya, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun hasil ujian saringan air kencing didapati positif dadah.

"Dalam serbuan ini, polis turut merampas empat kenderaan antaranya Mercedes Benz, Toyota Hilux, Honda City dan motosikal Scooter Benelli.

"Polis turut merampas tiga utas jam tangan berjenama dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM287,800 yang dipercayai hasil kegiatan dadah berkenaan," katanya.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Selain itu katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama dan Seksyen 7 Akta Dadah Berbahaya 1988 bagi rampasan barang sitaan.

"Polis kini giat mengesan kemungkinan ada lagi individu yang disyaki terbabit sindiket berkenaan. Kedua-dua suspek masih ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2020 @ 11:04am
d