mutakhir

Mayat ditemui terapung dengan kesan cedera, jerutan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Subang Jaya: Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu bagi membuat pengecaman satu mayat lelaki yang ditemui terapung di Taman Tasik Prima, Puchong pada 17 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, mayat lelaki berkenaan ditemui pada 7.55 pagi oleh orang ramai.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan terdapat kesan kecederaan luka di bahagian kepala dan kesan jerutan tali di leher.

"Siasatan mendapati tiada sebarang dokumen diri ditemui. Ketika ditemui mangsa dalam keadaan lengkap berpakaian, berseluar pendek warna hijau dan berbaju kemeja lengan panjang warna putih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abd Khalid berkata, sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh tampil ke mana-mana balai polis.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Ahmad Faizal Shaikh Ab Rahim di talian 019-7506606.

"Setakat ini identiti mangsa masih belum diketahui," katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2020 @ 3:07pm
d