mutakhir

Pagar kubur pun dicurinya [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: "Tak sangka pagar kubur pun ada yang sanggup curi," kata Ketua Biro Tanah Wakaf Masjid Nurul Hidayah, Kampung Simpang Tiga, Jeram di sini, Mohd Norhan Rais, 56.

Mohd Norhan berkata, pihaknya menyedari 29 keping pagar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpang Tiga itu didapati hilang semalam menyebabkan kerugian lebih RM4,300.

Katanya, dia menyedari kejadian itu selepas dihubungi oleh Nazir Masjid Nurul Hidayah ketika berada di rumah, kira-kira 10 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

"Kami selalu meronda di tanah perkuburan ini terutama pada waktu malam bagi mengawasi lampu solar berkuasa tinggi yang dipasang sejak sebulan yang lalu.

"Kebetulan kawasan ini tiada kemudahan elektrik, jadi kami ambil inisiatif dengan membuat mengumpul dana bagi memasang lampu solar yang mana empat lampu berharga kira-kira RM2,600.

"Apa yang menghairankan, lampu solar tidak hilang, sebaliknya pagar kubur pula yang larikan," katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian, hari ini.

Mohd Norhan berkata, ketiadaan pagar itu bakal menyebabkan tanah perkuburan itu dicerobohi haiwan seperti anjing liar dan lembu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda Masjid Nurul Hidayah, Syahruzzaman Ngadnan, 35, berkata, dia turut kesal dengan kejadian itu dan menganggap ia tidak sepatutnya berlaku di tanah perkuburan Islam.

Katanya, sehubungan itu dia meminta bantuan orang ramai menyalurkan maklumat jika ada individu yang menjual pagar kubur berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2020 @ 4:24pm
d