mutakhir

'Mungkin bukan bau babi' [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kampar: Pengusaha ladang ternakan babi di pekan Malim Nawar di sini, mendakwa bau busuk yang masih mengganggu penduduk sekitar pekan itu berkemungkinan juga terhasil daripada tiga loji kumbahan terbuka yang terdapat di sekitar kawasan perumahan penduduk.

Pengurus ladang ternakan itu di Golden Dragon Garden di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata, tidak adil untuk semata-mata menyalahkan pihaknya memandangkan saranan yang dikemukakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak sudah dipatuhi.

"Apa yang JPV sarankan, kita sudah buat termasuk dalam hal pengubahsuaian. Jabatan itu juga mengakui dan menerima pengubahsuaian yang dibuat, selain menambah kuantiti bahan bagi mengurangkan bau ke dalam makanan ternakan di sini dan seumpamanya seperti yang diarahkan.

"Jarak ladang ini dari kawasan perumahan adalah kira-kira tiga kilometer, sedangkan loji kumbahan terbabit kurang satu kilometer dari kawasan yang dimaksudkan. Saya tidak pasti dan tidak mahu menuduh punca bau berkenaan dari loji terbabit.

"Namun ia tidak adil jika hanya menyalahkan (ladang) kami yang terletak lebih jauh berbanding loji kumbahan terbuka itu dari penempatan penduduk. Maksudnya boleh jadi bukan hanya ada satu sumber sahaja (pencemaran bau)," katanya dihubungi hari ini.

Katanya lagi, pihaknya juga hairan dengan aduan diterima berkenaan pencemaran bau itu yang didakwa hanya berlaku sejak kebelakangan ini walaupun ladang ternakan terbabit sudah menjangkau usia hampir 40 tahun.

Ditanya mengenai bau yang terhasil kemungkinan berpunca akibat bawaan angin seperti yang didakwa penduduk, pengurus berkenaan berkata, jika benar seperti yang didakwa, ia adalah di luar kawalan pihaknya.

"JPV sudah lima kali meninjau ladang kami sejak aduan berhubung dengannya dilakukan. Pengubahsuaian yang dilakukan termasuk pada tapisan bahagian ekzos (ventilasi) pengudaraan tetapi seperti yang dikatakan, ia bukannya sentiasa berbau sebaliknya apabila keadaan berangin atau hujan.

"Jika penduduk masih mahu menyalahkan kami, ia juga mestilah dibuktikan daripada sudut saintifik bahawa pencemaran bau ini memang dari ladang kami.

"Jika sekadar mendakwa ada bau terus menuduh ia berpunca daripada ladang kami, ia tidak adil. Mungkin juga bukan bau itu (babi)," katanya.

Sementara itu, semakan pada senarai daftar maklumat lokasi ternakan babi yang dikeluarkan JPV Perak mendapati, terdapat sekurang-kurangnya enam ladang babi di kawasan Malim Nawar daripada sekurang-kurangnya 19 ladang babi di Kampar.

Ditanya mengenai pembabitan penternak babi di kawasan itu dalam persatuan penternak babi, Tan berkata, tiada persatuan seumpama itu ditubuhkan bagi penternak di kawasan berkenaan.

Berita berkaitan

Penternak babi perlu bertanggungjawab, kekalkan keharmonian

Disiarkan pada: December 31, 2020 @ 5:43pm
d