mutakhir

Sindiket proses, jual air ketum di Jalan Setiawangsa tumpas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Satu sindiket memproses dan menjual air ketum yang berleluasa di Jalan Setiawangsa, di sini, sejak setahun lalu tumpas dengan penahanan 12 lelaki tempatan termasuk dalang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya membuat serbuan di hadapan sebuah kedai tidak bernombor di lokasi berkenaan jam 11 malam.

"Dalam serbuan itu, kami menahan tujuh penjual serta lima pembeli termasuk seorang penjawat awam serta dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang berusia antara 19 hingga 45 tahun.

"Tangkapan itu termasuk dalang sindiket berkenaan yang juga peniaga kedai runcit berusia 40-an.

"Hasil serbuan itu, kami merampas 14 plastik dan 260 bungkusan mengandungi cecair disyaki daun ketum seberat 281 liter, 63 botol cecair dipercayai ubat batuk (5,670 milimeter), lapan bungkusan plastik disyaki daun ketum (8,000) serta wang tunai RM7,000," katanya pada sidang media di Balai Polis Setiawangsa, di sini, hari ini.

Rajab berkata, pihaknya sudah membuat 12 serbuan di kawasan berkenaan bagi tempoh sepanjang tahun lalu membabitkan tangkapan 36 lelaki dan seorang wanita tempatan.

"Dalam siri serbuan itu, kami merampas 471 liter air ketum, ketum (8,000 gram), ganja (0.78 gram) dan cecair ubat batuk (7,070 milimeter).

"Siasatan dilakukan mendapati kebanyakan peniaga di kawasan itu terbabit dengan aktiviti memproses serta menjual air ketum di sebalik perniagaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, akibat mereka tidak serik dan mengulangi melakukan kegiatan itu, pihaknya akan mengusulkan mereka diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"Tindakan itu diambil bagi membendung kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa di kawasan terbabit.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 11:28am
d