mutakhir

'Hanya happy-happy saja'

Oleh Juwan Riduan

Penampang: "Saya tidak minum banyak, hanya 'happy-happy' saja," kata lelaki yang ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Ambang Tahun Baru 2021 di sini, awal pagi hari ini.

Lelaki itu adalah antara dua individu yang ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Sebanyak 18 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi terbabit.

Operasi selama lima jam yang berakhir 4 pagi itu dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang membabitkan beberapa sekatan jalan raya (SJR), perumahan serta premis pusat hiburan.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, seramai 30 individu dikenakan kompaun atas kesalahan melakukan aktiviti dilarang.

Menurutnya, semua aktiviti berkenaan dikenal pasti melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) No 8 2020.

"Selain itu, polis turut menahan dua individu atas kesalahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai mungkin merebakkan apa-apa jangkitan penyakit yang berbahaya kepada nyawa," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, operasi juga membabitkan anggota polis membuat rondaan di kawasan perumahan dan tumpuan orang ramai seperti di pesisir pantai, pusat hiburan, premis makanan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Hasil daripada operasi yang dilakukan pihak polis mendapati masih ramai dalam kalangan masyarakat yang bersikap sambil lewa dan tidak menghiraukan penularan wabak Covid-19 dan perkara ini sudah pasti menyukarkan petugas barisan hadapan dalam menguatkuasakan undang-undang," katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 1:57pm
d