mutakhir

Jalan pesisir 'Pantai Miami' ditutup

Oleh BERNAMA

Kuala Terengganu: Jalan pesisir Pantai Seberang Takir dari arah Pantai Teluk Ketapang ke Jambatan Angkat ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula hari ini hingga Ahad ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan sementara sebahagian laluan terbabit adalah bagi menjamin keselamatan pengguna berikutan berlaku limpahan ombak serta sampah-sarap di lokasi berkenaan.

"Kerja-kerja pembersihan jalan akan segera dilakukan dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengambil jalan alternatif melalui jalan Seberang Takir.

"Papan tanda amaran dan pemberitahuan telah pun dipasang dan orang ramai diminta mematuhi arahan tersebut," menurut kenyataan itu.

Selain pantai Seberang Takir di Kuala Nerus, laluan di Teluk Lipat, Dungun iaitu jalan di simpang Sekolah Menengah Imtiaz Dungun hingga ke Jalan Kubur Sura turut ditutup kepada semua kenderaan sejauh tiga kilometer.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, fenomena ombak besar dan angin kencang semalam menyebabkan laluan itu terpaksa ditutup kerana tanah runtuh akibat hakisan, timbunan pasir dan batu kecil serta terdapat insiden pokok tumbang di depan sebuah resort.

"Kon penghalang telah diletakkan di laluan tersebut dan pengguna jalan raya perlu mengikut jalan alternatif yang lain untuk ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun.

"Kerja pembersihan juga sedang giat dilakukan oleh JKR serta pemantauan oleh APM dan polis agar orang ramai menjauhi kawasan tersebut demi keselamatan mereka," katanya.

Berita berkaitan:

  • Pantai Miami dicemari sampah [METROTV]
  • Fenomena air laut pasang besar di Terengganu [METROTV]
  • Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 3:17pm
    d