mutakhir

Kerja baik pulih rumah sukar kerana penghuni berbogel

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Usaha membaik pulih kediaman seorang wanita yang mempunyai masalah mental di Kampung Parit 3, Alor Setanggok, Semanggol, di sini, berdepan kesukaran kerana dia enggan memberi kerjasama selain sering berbogel di rumahnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol, Razman Zakaria berkata, wanita berusia 40-an itu tinggal sendirian di rumah usang dan sering yang bertelanjang menyebabkan kontraktor yang dilantik bagi membuat kerja baik pulih rumah berdepan kesukaran.

Beliau berkata, bantuan baik pulih rumah di bawah Baitulmal sudah diluluskan dan sepatutnya kediaman itu siap sepenuhnya dibaik pulih beberapa hari lalu.

"Memandangkan keadaan wanita itu yang sering telanjang dan tidak mahu keluar dari rumah menyebabkan kerja membaik pulih terbantut.

"Tindakan memujuk dan membawa wanita itu keluar untuk sementara waktu juga gagal biarpun pelbagai usaha dibuat penduduk sekitar," katanya ketika ditemui media dalam program ziarah di Parit 3, Tebuk Matau, Semanggol, di sini, hari ini.

Hadir sama, Jawatankuasa Pengurusan Komuniti dan Keselamatan (JPKK) Kampung Parit 3, Tebuk Matau, Mohamad Sharif Wagiman.

Sehubungan itu, Razman meminta pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu memujuk dan menempatkan wanita itu di mana-mana rumah kebajikan buat sementara waktu sementara menunggu kediamannya dibaik pulih.

Sementara itu, Mohamad Sharif berkata, wanita itu tinggal sendirian di rumah namun kebajikannya seperti makan dan minum dijaga ahli keluarga terdekat.

"Wanita itu sebenarnya normal dan pernah berkerja namun selepas kematian ayahnya, dia kemurungan dan sering bersendirian," katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 3:29pm
d