mutakhir

Mujur bomba datang [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: "Mujur bomba datang selamatkan saya," kata mangsa banjir di Kampung Pasir, Md Nazir Sharis, 55.

Katanya, menyedari air naik dengan cepat susulan hujan lebat petang ini, dia menghubungi bomba untuk bantuan kerana kawasan kediaman ibu mentuanya itu sering dilanda banjir.

"Kaki kanan saya patah akibat kemalangan dengan kereta Februari lalu menyebabkan sukar bergerak.

"Apabila melihat air mula naik mengelilingi kediaman, saya menelefon bomba untuk meminta tolong, manakala ahli keluarga lain bergegas menyelamatkan barangan berharga," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Nazaruddin Ahmad Zainuddin berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.49 petang, pihaknya menggerakkan 21 anggota bersama dua jentera dan sebuah Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, didapati Kampung Pasir dinaiki air setinggi 0.91 meter.

"Anggota bomba membantu memindahkan tiga mangsa membabitkan orang dewasa termasuk pesakit angin ahmar dan yang patah kaki," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Riduan Akhyar, berkata Kampung Laut di Batu 10, Skudai turut dinaiki air setinggi 0.61 meter.

Katanya, 11 anggota bergegas ke kawasan terbabit bagi membantu penduduk berpindah.

"Sehingga kini, 26 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Batu 10, bagaimanapun operasi ditamatkan kira-kira jam 3.30 petang ini," katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 5:41pm
d