mutakhir

Beri penjelasan kepada rakyat - Mohamed Khaled

Oleh Omar Ahmad

Pasir Gudang: Kerajaan diminta memberi penjelasan kepada rakyat berhubung pembatalan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, negara dan Johor khususnya hilang peluang untuk melonjakkan pembangunan ekonomi apabila HSR dibatalkan.

Katanya, dengan kewujudan HSR kawasan sepanjang jajaran projek termasuk kawasan di barat Johor mampu untuk diterokai dan dimajukan serta meletakkan negeri ini sebagai negeri yang memainkan peranan besar dalam pertumbuhan dan kemajuan negara.

"Saya merasakan kita rugi dengan pembatalan HSR ini. Kerajaan mungkin ada asasnya (mengapa HSR dibatalkan), namun kerajaan wajar berkongsi dengan masyarakat untuk kita tahu.

"Tetapi memang kita rugi dari segi jangka panjang. Walaupun ada masalah, pada saya ia patut ditangguh dan tidak perlu dibatalkan.

"Kita cakap mengenai soal integrasi ekonomi antara negara dalam ASEAN. HSR adalah cara terbaik. Kita bercakap mahu pertingkatkan pembangunan kemajuan Malaysia, ini (HSR) ruang peluang yang membantu ke arah itu.

"Kita bercakap soal bagaimana dengan adanya HSR kita dapatkan bakat, idea, modal daripada Singapura. Kita sepatutnya memudahkan pembangunan perjalanan rel," katanya ketika diminta mengulas mengenai pembatalan projek HSR selepas beliau merasmikan Mesyuarat Persidangan Wanita UMNO Pasir Gudang, di sini hari ini.

Jelas Mohamed Khaled, projek HSR itu adalah projek yang dicapai antara kedua-dua negara ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan beliau masih bergelar Menteri Besar Johor.

Katanya, selepas membatalkan HSR, kerajaan perlu mempunyai perancangan dan rencana besar yang boleh melonjakkan ekonomi selepas melalui pandemik Covid-19.

"HSR pemangkin kepada kawasan sejajar termasuk Selat Melaka. Kita perlu lihat dan bangunkan potensi Selat Melaka. Indonesia lakukan pembangunan di tepi Selat Melaka di Dumai. Jadi kita kena bersaing.

"HSR memungkinkan kita bersaing. Sekarang kita hilang peluang itu. Berhadapan wabak kita perlu fikir apa yang boleh melonjakkan ekonomi tetapi sekarang kita hilang peluang itu," katanya.

Awal hari ini, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan HSR sejauh 350 kilometer selepas gagal mencapai sebarang persetujuan menjelang tarikh akhir semalam.

Pada 31 Mei, 2020, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pembangunan projek dua hala sehingga 31 Disember 2020.

Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 6:39pm
d