mutakhir

Cemas kereta terbakar ketika bergerak

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Empat lelaki cemas apabila Proton Waja dinaiki mereka tiba-tiba terbakar ketika sedang bergerak di Jalan Lintas Utara, Batu Tiga di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 10.10 pagi itu, pemandu dan penumpang dilaporkan berusia dalam lingkungan antara 20-an hingga 40-an dalam perjalanan dari Batu Tujuh, ke sebuah bengkel kenderaan di kawasan BDC.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, bahagian enjin kereta berkenaan tiba-tiba terbakar.

Pemandunya yang berusia 48 tahun segera menghentikan kenderaan ke tepi jalan dan bergegas menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan terbabit.

Difahamkan, ada antara penumpang gagal menyelamatkan dokumen dan barangan penting mereka.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.11 pagi mengenai kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota BBP Sandakan bergegas ke lokasi.

Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 10.49 pagi dan kenderaan itu hangus 100 peratus.

"Semua mangsa selamat dan tiada yang cedera. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 7:11pm
d