mutakhir

Penduduk pesisir pantai di Terengganu perlu berjaga-jaga

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Penduduk di pesisir pantai negeri ini dinasihatkan berjaga-jaga berikutan fenomena angin kencang dan air pasang besar dijangka berulang, malam ini.

Pengarah Pejabat Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria berkata, berdasarkan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di perairan negeri ini sehingga 3 Januari ini.

"Kejadian limpahan air yang berlaku di pesisir pantai, semalam berkemungkinan besar boleh berulang pada malam ini.

"Semua kawasan pantai termasuk di pesisir Jalan Seberang Takir, di sini, dijangka mengalami limpahan air laut akibat angin kencang dan fenomena air pasang besar itu.

"Justeru, saya berharap penduduk di pesisir pantai mengambil langkah berjaga-jaga, malah orang awam perlu mengelakkan berada di kawasan pantai," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, fenomena limpahan air yang berlaku itu disebabkan pertembungan di antara luruan ombak akibat angin kencang serta air pasang besar.

"Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga sudah dikeluarkan MetMalaysia melibatkan perairan Johor Timur, Pahang, Kelantan dan Terengganu. Keadaan itu adalah berbahaya untuk segala aktiviti di pantai, perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

"Angin kencang Timur Laut melebihi 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak 4.5 meter dan ke atas," katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman Facebooknya juga mengeluarkan carta kedudukan aras laut iaitu paras air pasang setinggi 2.50 meter hingga 2.70 meter di Kuala Terengganu, manakala di Kemaman pula ialah 3.20 meter hingga 3.50 meter.

Ia dijangka bermula pada 11 malam ini hingga 2.30 pagi esok sehingga 6 Januari ini.

Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 7:30pm
d