mutakhir

Satu jam usung mangsa turun dari bukit

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Yan: Anggota bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk membawa turun seorang lelaki berusia 24 tahun yang cedera di atas bukit di air terjun Seri Perigi, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas itu pada 10.31 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan tiba di lokasi kejadian pada 10.38 pagi.

"Setibanya di lokasi, kami dapati seorang lelaki cedera di atas bukit kawasan air terjun berkenaan pada ketinggian 100 meter dari aras laut.

"Kawasan berkenaan juga curam, berbatu dan licin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, berikutan insiden itu, polis menutup kawasan berkenaan daripada pengunjung.

Katanya, anggota BBP Yan memberi rawatan awal kepada mangsa di lokasi kejadian sebelum membawanya turun menggunakan pengusung ke kaki bukit.

"Operasi mengambil masa kira-kira satu jam untuk membawa turun mangsa ke bawah. Mangsa yang cedera pada kaki dan pinggang berjaya dibawa turun ke kaki bukit pada 11.45 pagi sebelum diserahkan kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2021 @ 12:47pm
d