mutakhir

Tiada laporan kemalangan akibat tumpahan minyak [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis belum menerima sebarang laporan berhubung kemalangan beberapa penunggang motosikal yang didakwa berpunca daripada tumpahan minyak di Jalan Kuching arah ke pusat bandar, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, polis masih belum menerima laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian itu.

"Perkara itu sudah disemak dan kami mendapati belum ada laporan diterima," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 47 saat dipercayai rakaman daripada kamera papan pemuka (dashcam) berhubung kejadian itu tersebar di media sosial, hari ini.

Berdasarkan tarikh yang tertera dalam rakaman video itu, kejadian dipercayai dirakam 9.22 pagi tadi.

Dalam rakaman itu, terdapat sebuah motosikal ditunggang lelaki yang berada di lorong tengah dilihat hilang kawalan dipercayai akibat laluan licin sebelum terjatuh.

Menerusi rakaman itu juga, ada sebuah lagi motosikal yang berada di hadapan motosikal terbabit turut terjatuh sebaik memintas dua lagi motosikal yang sudah terlebih dahulu terjatuh di lorong tengah.

Bagaimanapun, semua penunggang motosikal berkenaan terselamat dengan beberapa pengguna jalan raya lain memberhentikan kenderaan masing-masing dan membantu mereka.

Disiarkan pada: January 2, 2021 @ 4:16pm
d