mutakhir

Reman 22 sindiket Macau Scam dilanjutkan

Oleh BERNAMA

Ipoh: Perintah reman terhadap 22 individu yang ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan Macau Scam susulan serbuan ke atas sebuah rumah di sini, pada 29 Disember lalu, bersambung hingga Selasa depan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Superintendan Hasbullah Abd Rahman berkata, lanjutan tempoh reman selama tiga hari lagi itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

"Permohonan melanjutkan tempoh reman berkenaan dibuat oleh polis selepas perintah reman selama empat hari membabitkan kesemua suspek tamat hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Kesemua suspek termasuk tiga wanita yang berusia 20 hingga 46 tahun terbabit ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis yang dipercayai dijadikan pusat panggilan sindiket terbabit.

Dalam serbuan pada 7 pagi hingga 4 petang itu, polis merampas pelbagai barangan termasuk tiga unit komputer riba, 47 telefon bimbit serta 37 set skrip. Turut dirampas dua buah kereta.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan tindakan turut diambil mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Disiarkan pada: January 2, 2021 @ 10:32pm
d