mutakhir

Sungai Lepar lepasi paras bahaya

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Air Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, di sini melepasi paras bahaya, manakala empat lagi sungai di Pahang, masing-masing satu sungai berada pada paras amaran dan tiga pada paras berjaga-jaga, pagi ini.

Menurut laporan infobanjir.water.gov.my setakat 6 pagi ini, Sungai Lepar mencecah 30.16 meter (m) berbanding paras bahaya 30 m manakala Sungai Lembing merekodkan 35.90 m berbanding paras amaran 35 m.

Tiga sungai yang melepasi paras berjaga-jaga pula ialah Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran yang mencatat 17.32 m, Sungai Belat, Sri Damai, di sini 3.36 m dan Sungai Lipis di Batu Talam, Raub 114 m.

Sehubungan itu, penduduk yang tinggal di kawasan rendah terutama berhampiran sungai dinasihat sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berpindah jika berlaku banjir.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca (bahaya) iaitu hujan lebat di Pahang membabitkan daerah Pekan dan Rompin.

Hujan lebat iaitu amaran cuaca (buruk) dijangka berterusan di daerah Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera manakala amaran cuaca (waspada) di Cameron Highlands, Lipis dan Jerantut.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 9:54am
d