mutakhir

Warga emas melecur, rumah terbakar

Oleh Recqueal Raimi

Pitas: Warga emas berusia 75 tahun melecur selepas satu blok menempatkan tiga unit rumah dan kedai runcit di Kampung Ferry, di sini, terbakar awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa, Abu Bakar Hassan berjaya diselamatkan ahli keluarga dan orang awam dengan membawanya keluar dari rumah ketika api marak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 4.36 pagi, lapan anggota dan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati satu blok rumah jenis tidak kekal terbakar 100 peratus termasuklah sebuah Perodua Kancil manakala tiada mangsa dilaporkan terperangkap.

"Seramai lima penghuni berjaya menyelamatkan diri dan seorang penghuni yang cedera dihantar ke Hospital Pitas oleh orang awam sebelum ketibaan bomba," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, api berjaya dikawal jam 5.30 pagi.

"Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.53 pagi manakala punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 10:35am
d