mutakhir

Remaja parah dilanggar lari

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Seorang penunggang motosikal parah selepas dilanggar dari arah belakang di Kilometer 57.5 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa, Saiful Ramzi Shahidan, 19, mengalami pendarahan di kepala dan patah rahang.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal seorang diri dan dalam perjalanan dari Tanjong Karang ke Putrajaya.

"Tiba di lokasi, dipercayai terdapat kenderaan lain yang masih belum dikenalpasti melanggar bahagian belakang motosikal mangsa dan terus melarikan diri.

"Kemalangan mengakibatkan mangsa tercampak ke batu simen konkrit pembahagi tengah jalan lalu melepasi ke laluan bertentangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, akibat kemalangan itu, mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) dan kemudian dirujuk ke Hospital Putrajaya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Polis juga meminta saksi tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 10:42am
d