mutakhir

Polis serbu restoran hias gambar pemimpin komunis

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Polis merampas pelbagai gambar dan cawan mempamerkan karikatur berunsurkan wajah pemimpin komunis di sebuah restoran dua tingkat dekat Jalan Icon City, Juru, di sini, tengah hari semalam.

Serbuan dijalankan pada jam 12.40 tengah hari selepas menerima maklumat daripada cawangan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah terdapat premis milik lelaki tempatan dan isterinya warga China menampal gambar pemimpin komunis, Mao Tse-tung.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, ketika serbuan pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu tiada di restoran kerana sedang menjalani kuarantin Covid-19.

"Siasatan di restoran mendapati suami isteri itu menjalankan perniagaan menjual masakan Cina dan menghias dinding restoran mereka dengan karya lukisan semasa era revolusi kebudayaan China

"Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat gambar tampalan hiasan karikatur yang terpapar wajah Ketua Revolusi Komunis China, Mao Tse-tung dalam premis itu.

"Hiasan itu jelas menyalahi undang-undang lalu polis membuat rampasan dengan menanggalkan semua gambar-gambar berkenaan termasuk cawan yang turut memaparkan wajah pemimpin komunis berkenaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, restoran terbabit tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada pengawal keselamatan yang mengawal premis berkenaan.

"Semasa serbuan terdapat pengurus restoran berusia 23 tahun yang menjaga premis terbabit.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 44 Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 10:43am
d