mutakhir

Latih belia jadi penggali kubur

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Seramai 50 belia Kampung Kuala Tol, dekat sini, dilatih menggali kubur setiap kali ada kematian di kampung itu sejak lebih setahun lalu.

Ini bagi menggalakkan remaja kampung lebih biasa dengan tugas sukarelawan menggali kubur dan sebagai pelapis usaha itu untuk generasi sekarang.

Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kampung Kuala Tol, Mokhtar Dahari berkata, orang dewasa yang mahir menyediakan liang lahad perlu mengajar generasi muda dengan kemahiran itu.

Katanya, setakat ini sebahagian besar anak muda sudah ada kemahiran dan mengambil alih terus daripada orang dewasa tugas menggali kubur.

"Kita terpaksa menggalakkan generasi berumur 18 hingga 40 tahun mengambil tugas menggali kubur supaya orang dewasa dapat direhatkan.

"Lagipun anak-anak muda ini mempunyai tenaga yang kuat dan dapat menyiapkan liang lahad dalam masa yang cepat," katanya di Kampung Kuala Tol, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, penggali kubur, Helmi Ab Ghani, 20, berkata dia pada mulanya rasa gementar mengambil tugas itu.

Menurutnya, selepas beberapa kali berbuat demikian rasa takut atau gementar hilang walaupun melakukan tugas itu siang atau malam.

"Lagipun kami melakukan tugas itu beramai-ramai hingga 30 orang dalam satu-satu masa dan begitu juga pengurusan jenazah," katanya.

Dia berkata, semua anak muda kampung itu bersedia mengambil alih tugas pengurusan jenazah bermula memandikan, solat dan mengusung ke kubur.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 11:58am
d