mutakhir

Kuantan dilanda banjir kilat

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Hujan lebat berpanjangan yang melanda daerah ini, khususnya di beberapa kawasan termasuk di pusat bandar dan taman perumahan sejak 6 pagi hari ini menyebabkan berlaku banjir kilat.

Antara kawasan yang dinaiki air di pusat bandar ialah sekitar Jalan Bukit Ubi, Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Bukit Sekilau dan Jalan Haji Ahmad.

Manakala, kawasan perumahan pula membabitkan Taman LKNP Bukit Setongkol, Taman Indera Sempurna, Taman Sungai Isap Damai, Taman Seri Damai dan Taman Seri Galing.

Tinjauan di beberapa kawasan mendapati hujan lebat menyebabkan air naik antara 0.2 meter hingga 0.5 meter.

Persimpangan jejambat berhampiran Wisma Belia, Indera Mahkota, di sini, turut ditenggelami air yang menyebabkan pengguna jalan raya berpatah balik.

Pengguna jalan raya mencari jalan alternatif daripada mengharungi banjir kilat bagi mengelak kenderaan mereka tersekat.

Setakat 12.30 tengah hari tadi, hujan lebat masih berlaku di sekitar pusat bandar ini dan dijangka beberapa kawasan lain akan dinaiki air.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca (bahaya) iaitu hujan lebat di Pahang membabitkan daerah Pekan dan Rompin.

Hujan lebat iaitu amaran cuaca (buruk) dijangka berterusan di daerah Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera, manakala amaran cuaca (waspada) di Cameron Highlands, Lipis dan Jerantut.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 1:27pm
d