mutakhir

Kanak-kanak maut, 3 lain cedera

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbalik di Kilometer 14.5 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Selayang di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, bomba menerima panggilan kejadian jam 10.29 pagi.

Menurutnya, sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan sebuah kereta Nissan Almera yang terbabas dan terbalik. Empat mangsa iaitu seorang lelaki, wanita dan dua kanak-kanak. Seorang daripada kanak-kanak disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata, tiga mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya jam 11.10 pagi.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 1:56pm
d