mutakhir

Helikopter bantu kesan mangsa bot karam [METROTV]

Oleh Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan khidmat helikopter bagi mengesan mangsa bot karam Asaari Leh, 46, yang masih hilang di Pulau Perhentian dekat Besut sejak Khamis lalu.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, aset udara itu digerakkan bermula semalam bersama dua lagi helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Katanya, helikopter itu melakukan dua sesi penerbangan sebelah pagi dan petang membabitkan tempoh 10 jam merangkumi keluasan 776.55 batu nautika persegi bagi misi pencarian mangsa.

"Kita berhadapan dengan cabaran getir dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini kerana menempuh tiupan angin kencang selaju 60 hingga 70 kilometer sejam manakala ketinggian ombak mencapai 4.5 hingga 5.5 meter.

"Keadaan ini menyebabkan aset udara digunakan bagi membantu Kapal Maritim (KM) Tok Bali dan KM Kilat 28 supaya operasi berjaya menjumpai mangsa secepat mungkin.

"Pencarian turut dilakukan di kawasan pulau-pulau dengan tumpuan hari ini di Pulau Lang, Pulau Redang dan ke arah utara di mana aset udara sudah membuat SAR membabitkan 3,344 batu nautika persegi," katanya ketika ditemui di Pejabat APMM Tok Bali, di sini, hari ini.

Menurutnya, empat kru ditugaskan bagi setiap helikopter termasuk seorang anggota penyelam dalam misi berkenaan sekiranya mangsa berjaya ditemui di laut.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada empat mangsa yang terselamat, Asaari turut sempat mengenakan jaket keselamatan sebelum mereka semua jatuh ke laut.

" Mangsa (Asaari) tidak berbaju dan mengenakan jaket berwarna oren serta berseluar panjang warna hitam selain dipercayai pandai berenang.

"Justeru, kita tidak menolak kemungkinan mangsa yang hilang ini masih hidup jika dia juga memakai jaket keselamatan dan mungkin dihanyutkan ke pesisir pantai dan pulau," katanya.

Sehingga semalam, operasi SAR diperluaskan sehingga 2,240 batu nautika persegi, manakala Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan selaku koordinasi carilamat menambah keluasan pencarian 1104.88 batu nautika bagi semua aset laut dan udara, hari ini.

Dalam kejadian itu, lima nelayan dilaporkan hilang apabila bot dinaiki mereka karam ketika menangkap ikan berhampiran perairan Pulau Perhentian, Besut.

Bot yang dinaiki seorang tekong dan empat awak-awak karam dipercayai dimasuki air akibat bocor dan cuaca buruk.

Bagaimanapun, tekong bot iaitu Tuan Azhar Tengku Long, 47, dan tiga awak-awak iaitu Tuan Azrizal Tuan Azhar, 19, Mohd Azri Mohd Rosdi, 28, dan Norizan Yusof, 45, dijumpai di Pantai Coral View, Pulau Perhentian Besar, pada 1 Januari lalu.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 3:44pm
d