mutakhir

66 PPS di 3 negeri

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Sebanyak 66 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah dibuka di Johor, Pahang dan Sabah setakat tengah hari tadi, berikutan bencana banjir melanda ketiga-tiga negeri itu.

Ketua Komunikasi Korporat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datin Nur Daliza Dohat berkata, daripada jumlah itu, 51 PPS dibuka di Johor, 13 di Pahang dan dua di Sabah.

Ketika ini Johor sudah merekodkan 5,265 mangsa daripada 1,405 keluarga yang terjejas akibat banjir, diikuti Pahang dengan 462 mangsa daripada 124 keluarga dan Sabah (216 mangsa daripada 69 keluarga).

Beliau berkata, secara keseluruhan, 66 PPS terbabit sedang menempatkan 5,943 mangsa daripada 1,598 keluarga.

"Di Johor, daerah yang terbabit adalah Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulaijaya dan Pontian yang sehingga kini membabitkan 5,265 mangsa daripada 1,405 keluarga dan trend didapati meningkat.

"Bagi Pahang pula daerah yang terbabit adalah Jerantut, Maran, Raub, Rompin dan Temerloh manakala sebanyak 13 PPS sudah dibuka untuk menempatkan 462 orang mangsa daripada 124 keluarga dan jumlah ini dijangka meningkat berdasarkan keadaan cuaca semasa.

"Terdapat dua PPS aktif di Kota Kinabalu, Sabah yang menempatkan 216 mangsa daripada 69 keluarga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saliza berkata, ketika ini NADMA Malaysia dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Daerah (JPBD) aktif membuat pemantauan dan koordinasi menyelamat.

Beliau berkata, sehingga kini, pengurusan mangsa lancar dengan kerjasama semua agensi-agensi terbabit.

Katanya, Pasukan SMART juga berada di lokasi dengan membawa bersama aset seperti lori dan bot untuk membantu agensi-agensi penyelamat negeri dan daerah.

Selain itu, beliau berkata, koordinasi di PPS oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sokongan Jabatan Kesihatan Negeri dan Daerah serta lain-lain agensi penyelamat juga tersusun.

Sementara itu, ditanya berhubung penyaluran maklumat dan amaran di kawasan terjejas, Daliza berkata, ia diperoleh melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang bekerjasama dengan jabatan lain seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Meteorologi serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Pasukan Sokongan Kecemasan NADMA (NEST) juga berada di lokasi selain Datuk Ketua Pengarah turut meninjau di lokasi," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Aminuddin Hassim, ketika dihubungi berkata, setakat ini tiada PPS dibuka di Kelantan dan Terengganu.

Katanya, PPS sudah dibuka di Kuantan, Bentong, Maran, Rompin, Temerloh, Pekan, Raub, Jerantut dan Kuala Lipis.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 4:07pm
d