mutakhir

Sungai melimpah masuk ke bandar Kota Tinggi

Oleh Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad

Johor Bahru: Sungai di Kota Tinggi melepasi tahap bahaya manakala tiga lagi sungai di daerah berkenaan melepasi tahap amaran,sekali gus menimbulkan kebimbangan banjir berikutan hujan lebat.

Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi ketika dihubungi memaklumkan paras Sungai Rantau Panjang pada 10.67 meter, tengah hari tadi melepasi paras bahaya iaitu 9.80 meter.

Tiga lagi sungai daerah berkenan pula masing-masing melepasi paras amaran iaitu Sungai Johor pada 2.55 meter (2.50 paras amaran), Sungai Pemandi pada 2.57 meter (2.13 meter) dan Sungai Bang pada 2.37 meter (2.13 meter).

"Sungai Johor di kawasan bandar Kota Tinggi sudah mula melimpah masuk ke dalam bandar sejak 11 pagi tadi menyebabkan beberapa jalan utama di pusat bandar kini digenangi air hingga paras 0.5 meter.

"Semua kenderaan ringan juga tidak dibenarkan memasuki kawasan bandar Kota Tinggi atau menyeberang Jambatan Kota Tinggi berikutan paras air yang semakin tinggi.

"Pengguna diarahkan menggunakan laluan alternatif di Jalan Kota Tinggi-Mersing untuk ke bahagian utara daerah ini, " katanya ketika dihubungi.

Beberapa gambar dan video keadaan sekitar bandar Kota Tinggi yang digenangi air banjir tular sejak pagi tadi menimbulkan keresahan berikutan daerah berkenana pernah dilanda banjir besar pada 2006.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Kota Lama, Rosleli Jahari berkata, banjir sejak tengah hari tadi itu disebabkan beberapa faktor termasuk air pasang besar dan hujan lebat sejak Jumaat lalu.

Katanya, banjir berkenaan diharap surut pada sebelah petang ini namun meminta penduduk supaya terus berwaspada serta sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkaitan cuaca.

"Penduduk perlu mematuhi arahan pihak berkuasa sebagai langkah keselamatan," katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 4:22pm
d