mutakhir

Korban sakit untuk sara keluarga

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Nilai: Seorang pemuda mengalami masalah kesihatan kronik terpaksa melakukan kerja berat bagi menampung kehidupan dia dan kakaknya yang hilang pekerjaan sejak pandemik Covid-19.

Pemuda terbabit, Mohd Hairul Adha Amaran, 31, berkata, dia melakukan kerja kampung seperti memotong rumput dan mengambil upah mengemaskan rumah orang biarpun mengalami beberapa penyakit kronik.

"Saya perlu bekerja biarpun mengalami penyakit 'scholiosis' atau tulang belakang bengkok, asma teruk serta pernah melakukan pembedahan akibat penyakit hernia (angin pasang) tahun lalu.

"Kakak saya pula, Siti Norisah Amaran, 38, adalah ibu tunggal dua anak sejak tiga tahun lalu dan dia hilang pekerjaan di kedai makan akibat pandemik Covid-19 pada Mac lalu.

"Jadi, walaupun tidak berapa sihat, saya perlu pikul tanggungjawab itu bagi menyara kehidupan kami sekeluarga," katanya ketika menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di rumahnya di Kampung Sungai Sekah, Nilai, hari ini.

Menurutnya, dia hanya menerima kerja ditawarkan jika keadaan kesihatannya mengizinkan kerana kerap sakit terutama bahagian belakang badan.

Katanya, walaupun pernah mengalami sakit teruk, dia terpaksa bekerja terutama bekalan susu anak saudara (anak kakaknya) yang berusia tiga tahun.

"Buat masa sekarang saya tidak kisahkan nasib diri yang masih bujang, tetapi lebih memikirkan nasib anak saudara masih sekolah dan kecil perlu susu serta belanja dapur sering terputus," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati, rumah diduduki mereka agak uzur dan banyak dinding reput serta berlubang menyebabkan sering dimasuki haiwan liar termasuk monyet.

Kakaknya, Siti Norisah, 38, berkata hanya adiknya menjadi tempat bergantung selepas dia diberhentikan kerja Mac lalu.

Menurutnya, ayahnya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ada keluarga baru perlu ditanggung selepas ibunya meninggal dunia 20 tahun lalu.

"Selain saya, dua anak dan Mohd Hairul, rumah ini turut didiami seorang lagi adik bersama isteri dan anak tunggalnya.

Dia turut membantu membayar bil utiliti kerana gajinya pun hanya cukup-cukup sahaja.

"Saya mahu memohon bantuan pihak berwajib untuk perbelanjaan persekolahan anak dan mendapatkan modal memulakan perniagaan bagi membantu Mohd Hairul yang kurang sihat dan kerap sakit," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya cuba membantu meringankan beban keluarga itu selepas mendapat maklumat daripada penduduk sekitar yang simpati dengan nasib mereka.

Katanya, orang ramai yang mahu membantu meringankan beban mereka bolehlah menghubunginya di talian 012-9805132 (Norfadilah) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 6:13pm
d