mutakhir

Kota Tinggi dilanda banjir [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

Kota Tinggi: Kejadian banjir di Kota Tinggi semakin buruk apabila air Sungai Kota Tinggi melimpah ke kawasan bandar sejak pagi tadi.

Tinjauan di lokasi mendapati terdapat dua kawasan di Jalan Johor menghala ke Jambatan Kota Tinggi ditenggelami air.

Jalan itu dinaiki air sedalam 0.5 meter dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan.

Selain itu, kawasan Dataran Tun Sri Lanang berhampiran sungai terbabit turut banjir dengan dinaiki air pada paras 1 meter.

Peniaga baju kurung Luqman Aqil Hashim, 21, berkata, air banjir naik secara mendadak.

"Sangat drastik kenaikan air, memang secara tiba-tiba air naik semakin cepat.

"Malam semalam saya lalu kawasan ini tiada banjir tetapi pada jam 7 pagi tadi, sudah mula banjir sedikit.

"Tetapi air mula naik cepat pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari. Dalam masa dua jam, air sudah naik lebih 1 meter," katanya ketika ditemui di Jambatan Kota Tinggi, di sini, hari ini.

Sementara itu, pekerja pendawaian elektrik S Jeevanesh berkata, selain bandar, kawasan Taman Kemas turut dinaiki air.

Katanya, banjir kali ini adalah yang kedua terburuk di Kota Tinggi selepas 2007.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 6:27pm
d