mutakhir

Remaja lelaki ditahan buat aksi superman

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Tindakan remaja lelaki menunggang motosikal dengan aksi ala 'Superman' membawa padah apabila ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini, semalam.

Suspek berusia 17 tahun dari Melaka itu dikatakan menunggang secara melulu dan merbahaya bermula di Kilometer 417 hingga 411 dari arah Telemong-Ajil, di sini, kira-kira 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, remaja terbabit yang menunggang motosikal Honda EX5 sebelum itu bersama 12 lagi rakannya dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas bercuti selama tiga hari di negeri ini.

Menurutnya, pihak polis yang melakukan operasi ternampak kumpulan konvoi berkenaan sebelum suspek membuat aksi berbahaya itu.

Katanya, anggota polis mengekori kumpulan itu sehingga mereka berhenti di Hentian Rehat dan Rawat Ajil (arah Telemong-Ajil) dan remaja terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Hasil pemeriksaan terhadap 13 motosikal lain mendapati enam daripadanya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 60 APJ 1987.

"Kita menahan remaja lelaki terbabit dan 13 penunggang serta seorang pembonceng sebelum mereka bersama 13 motosikal dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohd Adli berkata, seorang daripada mereka berusia 21 tahun yang positif dadah jenis methamphetamine ditahan untuk siasatab mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, pihaknya turut mengeluarkan 60 saman terhadap kesemua penunggang motosikal membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran 'fancy', ubai suai aksesori dan brek tidak berfungsi.

"Kita turut menyita tujuh motosikal mengikut Seksyen 60 APJ 1987 kerana kesalahan memandu tanpa lesen memandu," katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 6:35pm
d