mutakhir

Melaka harap pembatalan HSR dikaji semula

Oleh Hassan Omar

Masjid Tanah: Kerajaan negeri Melaka berharap pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dikaji semula kerana ia sedikit sebanyak mengganggu perancangan pembangunan di kawasan dicadangkan sebagai stesen pengangkutan darat serba moden itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, cadangan projek berkenaan bakal memberikan impak positif ke atas pembangunan ekonomi di kawasan tertentu yang dicadangkan dimajukan sebagai stesen kereta api.

"Jika dibatalkan, Melaka pasti merasai kesan ekonomi, terutama di kawasan dicadangkan dimajukan sebagai stesen.

"Sedikit sebanyak ia mengganggu perancangan kita untuk memajukan kawasan tertentu dan sudah tentulah kita tidak akan memasukkannya dalam pelan pembangunan utama," katanya ketika ditemui selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah, hari ini.

Mesyuarat itu dirasmikan Ketua Umno bahagian itu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sehubungan itu, Sulaiman meminta Kerajaan Persekutuan mengkaji semula keputusan membatalkan projek berkenaan kerana jika ia dilaksanakan, bukan setakat Melaka yang bakal meraih manfaat, malah negara secara keseluruhannya.

Kelmarin, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembatalan projek berkenaan kerana tiada kata putus dicapai antara Malaysia dengan Singapura.

Malaysia dilaporkan perlu membayar pampasan dianggarkan bernilai RM300 juta kepada Singapura berikutan pembatalan itu.

Sulaiman berkata, cadangan laluan HSR tidak membabitkan projek 'Melaka Waterfront Economic Zone' (M-Wez) kerana ia tertumpu di kawasan persisiran pantai yang membabitkan kawasan tambakan pantai sejauh 20 kilometer.

Pembangunan M-Wez membabitkan kawasan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) sebagai hab perkhidmatan industri minyak dan gas, selain Pelabuhan Tanjung Bruas sebagai hab pelabuhan kontena dan Melaka Gateway sebagai hab Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT).

M-Wez antara projek pembangunan dirangka melalui Pelan Pembangunan Komprehensif Hala Tuju Melaka Lestari melalui tiga fasa iaitu pelan jangka pendek, sederhana dan panjang mulai 2020 hingga 2035.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 9:29pm
d