mutakhir

Sekat bekalan elektrik demi keselamatan mangsa banjir

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara bekalan ke 91 pencawang elektrik di Pahang dan Johor susulan banjir yang berlaku kesan hujan lebat berterusan.

TNB dalam satu kenyataan berkata, berikutan itu seramai 2,300 pengguna di Pahang dan 3,900 pengguna di Johor masih belum mendapat semula bekalan elektrik setakat ini.

"Sehingga jam enam petang tadi, 67 pencawang elektrik di Jengka, Maran, Jerantut dan Raub, Pahang serta 24 lagi pencawang di Johor Bahru, Kulai, Johor Jaya, Kota Tinggi dan Kluang, Johor dihenti tugas demi keselamatan pengguna.

"Manakala di Johor, 13 daripada 24 pencawang elektrik yang dihenti tugas diberikan bekalan sementara melalui set janakuasa mudah alih," katanya.

Menurutnya, penyambungan semula bekalan elektrik secara kekal atau sementara hanya akan dibuat selepas keadaan dipastikan selamat.

"TNB sentiasa bertungkus lumus memulihkan bekalan elektrik dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna elektrik dan pekerja TNB.

"Bagi memastikan pengurusan banjir yang berkesan, Bilik Gerakan TNB di negeri Johor dan Pahang diaktifkan hari ini untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini berkaitan bekalan elektrik," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pengguna di kawasan banjir dinasihati sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang.

"Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air. Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

"Apabila pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air," katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 9:44pm
d