mutakhir

20 lagi rumah di RPT Kampung Balun dinaiki air

Oleh Rosman Shamsudin

Slim River: Jumlah rumah yang ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Kampung Balun, di sini, meningkat sebanyak 20 rumah setakat 6 petang tadi.

Tinjauan juga mendapati jalan masuk ke kawasan perumahan terbabit dinaiki air menyebabkan kira-kira 100 penduduk terperangkap berikutan limpahan air Sungai Slim.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim turut menggunakan tali bagi menyeberangi jalan yang dinaiki air.

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mohd Nawawi Hussin berkata, hujan lebat sejak 1 pagi hari ini sehingga lewat petang ini menyebabkan berlaku limpahan air dari sungai terbabit

"Akibat hujan berterusan, menyebabkan 20 rumah lagi dilanda banjir, manakala jalan ke kawasan perumahan ini juga dinaiki air dan penduduk terpaksa menyelamatkan diri di kawasan tinggi," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Turut sama meninjau kawasan perumahan terbabit, Penolong Pegawai Daerah Muallim Mohamad Shahir Mohamad, Penghulu Kanan daerah, Hamka Othman dan Penghulu Mukim Hulu Bernam Timur, Mohd Isa Hamid.

Mohd Nawawi berkata, setakat 8 malam ini, belum ada lagi penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 9:58pm
d