mutakhir

JKM buka 99 PPS di Pahang

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuka sebanyak 99 pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan 6,259 mangsa banjir.

Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainol Abidin berkata, daerah Maran membuka PPS terbanyak iaitu 29 diikuti Raub (26), Kuantan (12), Jerantut (10), Lipis (7), Rompin (6), Temerloh (6), Pekan (2) dan Bentong (1).

Menurutnya, jumlah mangsa banjir teramai juga dicatatkan di Maran iaitu 3,479 orang diikuti Kuantan (1,027), Raub (456), Jerantut (433), Rompin (359), Temerloh (273), Lipis (134), Pekan (53) dan Bentong (45).

"Selain bertanggungjawab menyelaras pembukaan PPS, kita juga bertindak menyediakan semua keperluan asas di setiap PPS bagi kebajikan setiap mangsa banjir terbela.

"Kita menyediakan bekalan makanan kepada mangsa serta menyelaras tindakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu bersama pelbagai agensi berkaitan," katanya di sini, hari ini.

Beliau menambah, pengurusan semua 99 PPS yang dibuka kelmarin dan hari ini berjalan lancar dengan sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat setempat dan agensi berkaitan.

Zulkhairi berkata, pihaknya berharap keadaan cuaca baik selepas ini dan jumlah mangsa tidak bertambah lagi dan kemungkinan ada mangsa dibenarkan pulang.

"Saya difahamkan paras air di beberapa kawasan semakin surut walaupun agak pelahan, bandar Maran yang lumpuh hari ini sudah kembali tenang apabila air surut.

"Aktiviti pasca banjir mungkin akan bermula esok. Bagi mangsa banjir yang masih berada di PPS diharapkan mereka dapat bersabar sambil sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 11:50pm
d