mutakhir

Banjir: 804 mangsa dipindahkan di Terengganu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Mangsa banjir di Terengganu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 804 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), pagi ini.

Setakat 8 pagi tadi, kesemua mangsa daripada 205 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS di Dungun dan Kemaman.

Malam tadi, hanya 138 mangsa daripada 40 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di daerah sama.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman sekali lagi menjadi daerah yang paling teruk terjejas menerusi banjir gelombang kelima.

Katanya, seramai 609 mangsa daripada 145 keluarga dipindahkan di daerah Kemaman susulan hujan yang melanda sejak Jumaat.

"Kesemua mangsa dipindahkan ke enam PPS yang dibuka secara berperingkat, sejak malam tadi.

"Di Dungun, tiga PPS diaktifkan bagi menempatkan 195 mangsa daripada 60 keluarga," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, dua sungai kini melepasi paras bahaya iaitu masing-masing satu di Dungun dan Kemaman, manakala empat lagi sungai berada pada paras amaran.

Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun kini melepasi paras bahaya 21.12 meter (m) berbanding paras normal 14 m.

Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman yang merekodkan bacaan 18.76 m berbanding paras normal 15 m.

Empat sungai yang berada di paras amaran membabitkan daerah dua di Kemaman, serta masing-masing satu di Setiu Hulu Terengganu

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 9:39am
d