mutakhir

Banjir: Lebih 8,000 orang dipindahkan di Pahang

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Seramai 8,273 mangsa daripada 2,840 keluarga ditempatkan di 198 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, setakat 9 pagi ini.

Menurut portal bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir itu membabitkan sembilan daerah di negeri itu.

PPS di Raub merekodkan jumlah paling banyak iaitu 45 PPS, diikuti 36 PPS di Maran, Kuantan (29), Jerantut (24), Temerloh (12), Lipis (18), Rompin (lapan), Pekan (empat) dan Bentong (tiga).

Berbanding semalam, hanya 99 pusat PPS dibuka yang menempatkan 6,259 mangsa banjir.

Menurut laporan infobanjir.water.gov.my, enam sungai melepasi paras bahaya, manakala tiga sungai berada paras amaran dan empat sungai pada paras berjaga-jaga.

Enam sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, di sini, diikuti Sungai Tembeling, Jerantut; Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut; Sungai Kuantan di Kuantan Pintasan, di sini Sungai Pahang di Serambi, Paloh Inai, Pekan dan Sungai Jelai di Kuala Medang, Lipis.

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 9:40am
d