mutakhir

Pengarah, 3 pekerja syarikat import daging sejuk beku direman

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang pengarah dan tiga pekerja syarikat pengimport daging sejuk beku di sini, ditahan reman empat hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Nur Izzaty Muhammad Zahari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuat permohonan, pagi ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi berkata, kesemua mereka yang direman itu berusia antara 39 hingga 50 tahun.

"Mereka membabitkan pengarah, pengarah operasi dan kerani sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku serta seorang lagi pengarah syarikat lain.

"Mereka ditahan di pejabat SPRM Johor malam tadi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, SPRM akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dalam menjalankan siasatan menyeluruh kes itu yang dikaitkan isu kartel daging.

"SPRM memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan isu kepentingan rakyat khususnya umat Islam di negara ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kartel daging import yang dipercayai membawa masuk daging yang diragui status halal dari negara yang dilarang pengimportan.

Berita berkaitan

Isu kartel daging: 4 individu ditahan SPRM

Isu kartel daging: SPRM kumpul bukti sejak dua minggu lalu

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 11:28am
d