mutakhir

JBPM Terengganu agih aset bantu banjir di Johor, Pahang [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menghantar tiga lori lima tan dan dua bot ke Johor dan Pahang bagi membantu operasi banjir di kedua-dua negeri berkenaan.

Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, penghantaran aset itu bermula semalam susulan keadaan banjir yang semakin buruk.

Beliau berkata, masing-masing dua bot dan lori digerakkan ke Pahang, manakala sebuah lori ke Johor, manakala keperluan untuk operasi di Terengganu mencukupi berikutan keadaan banjir yang terkawal.

"Banjir di Terengganu masih lagi terkawal dan kita ada 11 kenderaan lagi iaitu lori lima tan dan tiga tan.

"Sekiranya tambahan aset diperlukan di negeri lain yang lebih teruk terjejas, kita sedia membantu kerana aset kita masih mencukupi.

"Kita turut mendapat bantuan daripada Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang yang bersedia menyediakan kekuatan pegawai dan anggota serta kenderaan utiliti yang digunakan ketika kecemasan sekiranya perlu," katanya selepas melakukan tinjauan air pasang besar dan hakisan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus malam tadi.

Dalam pada itu, Md Hilman turut mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko supaya berpindah awal dan tidak menunggu hingga ke saat akhir bagi mengelak terperangkap jika berlaku kenaikan paras air yang mendadak terutama pada waktu malam.

"Kita sekarang berada dalam norma baharu kerana pandemik Covid-19, jadi tugas menyelamat dan memindahkan mangsa banjir mengambil sedikit masa berbanding sebelum ini kerana kita terikat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Jadi, kita harap masyarakat dapat memberi kerjasama dan sentiasa peka dengan situasi banjir di kediaman masing-masing serta segera berpindah jika banjir semakin teruk," katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 1:13pm
d