mutakhir

Amaran cuaca buruk sampai esok

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk (peringkat jingga) dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Terengganu,Pahang dan Johor sehingga esok.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon berkata, amaran cuaca waspada (kuning) sehingga esok turut dikeluarkan bagi beberapa daerah di tiga negeri terbabit serta di Sabah.

Menurutnya, amaran peringkat jingga membabitkan daerah Kemaman di Terengganu; Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang; serta Mersing di Johor.

Manakala, peringkat kuning meliputi daerah Dungun di Terengganu,Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera di Pahang , Segamat dan Kluang di Johor dan Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Kudat di Sabah.

"Dalam tempoh berkenaan, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan Sabah.

"Manakala kebanyakan kawasan di negeri -negeri pantai barat Semenanjung akan mengalami keadaan cuaca mendung dan hujan berikutan limpahan hujan dari pantai timur Semenanjung.

"Sementara di Sarawak dan Sabah dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga

awal malam," katanya dalam satu kenyataan media,hari ini.

Menurut Jailan, keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

"Angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 60 Kilometer (km) sejam dengan ombak mencapai 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dalam tempoh berkenaan.

"Sementara di perairan Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 50 km sejam dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku dalam tempoh itu.

"Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit," katanya.

Maklumat lanjut dan perkembangan terkini berkenaan ramalan cuaca dan amaran boleh dilihat menerusi laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia serta aplikasi telefon pintar, myCuaca.

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 2:06pm
d