mutakhir

Waran tangkap lelaki aniaya anjing [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Mahkamah Sesyen, di sini, mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang pekerja sambilan lelaki selepas didakwa menganiaya anjing peliharaannya hingga haiwan itu mengalami kesakitan dalam kejadian pada Mac tahun lalu.

Ini berikutan tertuduh berusia 51 tahun gagal untuk hadir pada sebutan kes yang berlangsung, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang dimaklumkan tertuduh tidak dapat hadir dan menunjukkan sijil cuti sakit selama sebulan kerana mengalami kecederaan dalam kemalangan jalan raya, namun berjanji akan menghantar wakilnya.

Bagaimanapun, wakil atau peguamnya juga gagal hadir dengan memberi pelbagai alasan hingga sidang tertangguh selama setengah jam.

Pegawai Pendakwa JPV, Roziman Awang Tahrin kemudian memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas tertuduh.

Hakim Noor Aini Yusof membenarkan permohonan itu, dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Februari ini.

Dalam kejadian pada 16 Mac tahun lalu, tertuduh dipercayai menganiaya anjing peliharaannya dengan memukul, mencekik dan melemparkan haiwan itu ke dinding hingga mengalami kesakitan di rumahnya di Taman Sentosa, Nibong Tebal.

Kejadian pada 11.25 pagi itu disedari jiran di belakang rumahnya yang kemudian mengambil video dan melaporkan kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut.

Pihak JPV kemudian pergi ke lokasi untuk membuat siasatan dan menyelamatkan anjing baka tempatan berwarna putih itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 2:29pm
d