mutakhir

'Pet dumping' pengkhianatan ke atas haiwan peliharaan

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Pengabaian haiwan peliharaan atau 'pet dumping' adalah satu bentuk kekejaman yang dilakukan pemilik.

Presiden Persatuan Haiwan Terbiar (SAFM), R Kalaivanan berkata, perbuatan itu mungkin berlaku disebabkan daripada tekanan dan sumber pendapatan yang tidak tetap pemilik.

Katanya, namun pemilik haiwan peliharaan perlu ada rasa belas kasihan dan tanggungjawab ke atas haiwan mereka.

"Pemilik haiwan peliharaan dicadangkan tidak mengambil mudah sebaliknya berusaha mencari pusat perlindungan haiwan atau boleh cari pemilik baharu," katanya ketika menjadi panel untuk program 'Animal We Care: Perkongsian bersama Persatuan Haiwan Terbiar', semalam.

Program atas talian 'Animal We Care: Perkongsian bersama Persatuan Haiwan Terbiar' itu anjuran Kursus Kesukarelawanan dan Khidmat Bakti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program ini adalah bertujuan untuk membincangkan tentang kekejaman dan kezaliman terhadap haiwan dan isu pemandulan haiwan terbiar di samping membantu SAFM mengutip dana untuk tujuan itu.

Menurut Kalaivanan, masalah pengabaian juga kerana pemilik tidak dapat menjaganya haiwan peliharaannya yang banyak dan bertindak dengan membuang ke dalam tong sampah atau meninggalkannya di tepi jalan.

Katanya, masalah pet dumping juga boleh diatasi dengan cara mengawal kelahiran haiwan peliharaan melalui proses pemandulan.

"Kami berharap kes kezaliman ke atas haiwan di Malaysia dapat dikurangkan, serta memperketatkan lagi undang-undang jenayah ke atas perbuatan itu," katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 4:17pm
d