mutakhir

Daerah Masjid Tanah beroperasi hari ini

Oleh Hassan Omar

Masjid Tanah: Daerah Masjid Tanah mula beroperasi hari ini sebagai daerah keempat diwujudkan kerajaan negeri selepas tiga daerah sedia ada iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Pemisahan Masjid Tanah daripada daerah Alor Gajah bertujuan membolehkan penyaluran peruntukan pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial yang lebih tinggi berbanding peruntukan melalui daerah itu sebelum ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri berpendapat usaha mewujudkan daerah baharu itu penting berdasarkan keluasan Parlimen Masjid Tanah dan Dewan Undangan Negerinya (DUN).

"Dalam Parlimen Masjid Tanah ada lima DUN iaitu DUN Lendu yang saya sendiri wakili, Tanjung Bidara, Kuala Linggi, Ayer Limau dan Taboh Naning yang perlu dijadikan daerah baharu bagi meningkatkan pembangunannya.

"Apabila ia sudah dijadikan daerah sendiri, lebih banyak peruntukan mampu disalurkan oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dan ia mampu menjamin kelangsungan pembangunan," katanya selepas merasmikan program Sukan Rakyat di Kampung Solok Air Budi, Durian Daun, di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, 12 institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang beroperasi di daerah ini menyediakan peluang untuk pelajar mengembangkan potensi bagi mencapai kejayaan dalam pengajian akademik dan kemahiran.

Selain itu, katanya, pantai peranginan di perairan Melaka Barat sepanjang 20 kilometer dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi dalam daerah Masjid Tanah juga berfungsi sebagai pemangkin pembangunan di daerah ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini Pejabat Daerah Masjid Tanah yang baharu beroperasi di Bangunan Lembaga Tabung Haji di pekan Masjid Tanah masih dalam peringkat permulaan dengan hanya menempatkan beberapa pegawai dan kakitangan.

"Pegawai Daerah Alor Gajah Rahizi Ranom masih berkuasa ke atas pentadbiran daerah Masjid Tanah di bangunan TH itu sementara kita mengenal pasti pegawai daerah yang baharu," katanya.

-tamat

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 5:26pm
d