mutakhir

Mangsa banjir di Terengganu melebihi 1,000 orang

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Mangsa banjir di Terengganu kini mencecah seramai 1,077 mangsa daripada 335 keluarga, petang ini.

Sehingga 6 petang hari ini, semua mangsa ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Dungun dan Kemaman.

Pada 2 petang pula, seramai 645 mangsa daripada 169 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di dua daerah berkenaan.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman menunjukkan peningkatan mangsa apabila 274 keluarga membabitkan 877 mangsa dipindahkan ke tujuh PPS.

Beliau berkata, seramai 445 mangsa daripada 108 keluarga dipindahkan keempat PPS sehingga 2 petang.

"Di Dungun, jumlah mangsa tidak berubah apabila 200 mangsa daripada 61 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

"Kesemua mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan DOR Kampung Minda.

"Keadaan cuaca ketika ini hujan renyai, namun ada kalanya lebat serta berangin di sebelah pantai," katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 7:38pm
d