mutakhir

Tiga kali berpindah dalam sebulan [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: "Setiap kali hujan lebat, memang takut dan ini kali ketiga tok wan berpindah dalam tempoh sebulan apabila rumah dinaiki air akibat banjir," kata warga emas, Hamidah Long, 76.

Hamidah adalah salah seorang mangsa banjir di Kampung Hilir, Pasir Gajah, di sini, yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Pasir Gajah selepas rumahnya dinaiki air setinggi 0.5 meter, hari ini.

Dia yang menghidap penyakit jantung dan darah tinggi tinggal berseorangan di rumahnya, manakala anak-anaknya tinggal di luar kawasan ini.

"Sudah empat tahun tok wan tinggal di sini dan anak-anak biasanya akan bergilir-gilir bermalam di sini.

"Setiap kali hujan, memang kawasan rumah akan dinaiki air dan biasanya, kalau air naik, tok wan akan tunggu orang kampung atau pihak berkuasa datang kerana tidak berani mengharung air.

"Biasanya, penduduk kampung memang akan datang tengok keadaan tok wan dan bawa ke pusat pemindahan jika keadaan semakin teruk," katanya ketika ditemui di Kampung Hilir, Pasir Gajah, di sini, hari ini.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaannya menjadi penghuni tetap di PPS setiap kali musim tengkujuh.

"Biasanya, tok wan akan bermalam di PPS antara dua hingga empat malam," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Kampung Pasir Gajah Razali Omar berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan Hamidah memandangkan dia tinggal berseorangan di rumahnya.

"Anak-anak mak cik Hamidah bukan tidak cakna dengan ibu mereka, namun tinggal di luar kawasan ini dan menjadi tanggungjawab kita menjaga kebajikan dan keselamatan penduduk.

"Jika tengok air semakin meningkat, kita memang akan nasihat penduduk untuk berpindah," katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 7:45pm
d