mutakhir

9 kali baiki jalan 'ragut nyawa' sejak September - DBKL

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tindakan penyelenggaraan di Jalan Tengah menghala ke Jalan Syed Putra, di sini, iaitu lokasi seorang warga emas maut selepas terlanggar lubang, semalam, sudah dilakukan sembilan kali sejak September lalu.

Dalam satu kenyataan, hari ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kali terakhir permukaan jalan berkenaan diselenggara atau diturap adalah pada 26 Disember lalu.

"Didapati kerosakan jalan berkenaan terlalu kerap berulang, DBKL melantik pihak Tetuan Ikram (Perunding Geoteknikal) untuk mengkaji dan menyiasat punca kejadian berkenaan.

"DBKL sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap jalan berlubang dengan membuat rondaan dan membuat tampalan segera di lokasi jalan rosak," kata kenyataan itu, hari ini.

Pagi semalam, seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh apabila motosikal ditunggang melanggar lubang di Jalan Tengah menghala ke Jalan Syed Putra.

Mangsa, Ho Yan Fee, 75, meninggal dunia di lokasi kejadian dan polis menerima laporan pada 7.30 pagi.

Menurut kenyataan DBKL, pihaknya mempunyai pelbagai saluran aduan bagi orang awam untuk memanjangkan aduan berkaitan jalan berlubang.

"Antaranya menerusi laman web aduan ISPAAA, Hotline DBKL (Call Centre), Biro Pengaduan Awam, Aplikasi i-Tegur (KPKT), emel, WhatsApp, telefon, bersurat selain aduan bersemuka melalui Pejabat Cawangan DBKL.

"Kerjasama orang awam amat diharapkan bagi menyalurkan maklumat mengenai kerosakan jalan termasuk potholes melalui saluran seperti dinyatakan," katanya.

Menurutnya, jumlah kerosakan jalan termasuk lopak yang direkod sepanjang 2020 adalah sebanyak 11,979 dan semuanya diambil tindakan pembaikan oleh DBKL.

Katanya, sebanyak 7,735 kes dikesan melalui rondaan proaktif DBKL sendiri manakala 4,244 kes adalah melalui aduan daripada awam.

Berita berkaitan

'Warga emas maut langgar jalan berlubang'

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 9:55pm
d