mutakhir

Perhilitan Johor rampas 18 burung dilindungi

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Pasir Gudang: Seorang lelaki dipanggil dan diambil keterangan susulan dipercayai menyimpan hidupan liar di sebuah kediaman di Taman Nusa Damai, dekat sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, bertindak atas maklumat awam, empat anggota penguat kuasa Perhilitan menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan pada 5.15 petang.

"Pemeriksaan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang tinggal di premis itu mendapati dia tidak mempunyai sebarang dokumen sah daripada Perhilitan untuk menyimpan hidupan liar.

"Sebanyak tiga spesies burung dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dirampas.

"Spesies hidupan liar terbabit disyaki 16 burung bayan nuri, seekor bayan puling dan seekor dendang selayang dengan nilai rampasan dianggarkan RM7,850," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu akan disiasat mengikut Seksyen 68 akta sama yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, mereka yang berminat membela hidupan liar dinasihatkan untuk menyemak dengan Perhilitan terlebih dahulu sebelum meneruskan hobi mereka.

Katanya, selain itu, mereka perlu mendapatkan hidupan liar berkenaan daripada sumber sah mengikut lunas undang-undang.

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 11:00pm
d