mutakhir

1,074 mangsa banjir Terengganu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Mangsa banjir di Dungun dan Kemaman di Terengganu tidak banyak menunjukkan perubahan apabila seramai 1,074 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi hari ini.

Sehingga 8 pagi, kesemua mangsa daripada 330 keluarga itu ditempatkan di 12 PPS.

Semalam, seramai 1,077 mangsa daripada 335 keluarga dipindahkan ke 10 PPS di Dungun dan Kemaman.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 920 mangsa daripada 285 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS.

Menurutnya, jumlah mangsa menunjukkan sedikit pengurangan di Dungun berbanding petang semalam.

"Setakat ini, tiga PPS dibuka bagi menempatkan 154 mangsa daripada 45 keluarga di daerah itu.

"Semalam, seramai 200 mangsa daripada 61 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu di Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan DOR Kampung Minda.

"Keadaan cuaca ketika ini hujan renyai, namun adakalanya lebat serta berangin di sebelah pantai," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, hanya Sungai Kemaman di Stesen Paya Paman melepasi paras bahaya dengan mencatatkan bacaan 4.39 meter dan menunjukkan trend menaik.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 9:00am
d