mutakhir

3 PPS tutup, banjir di Dungun pulih

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Banjir di Dungun pulih sepenuhnya dengan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini.

Ia susulan penutupan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Pasir Raja; Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan DOR Kampung Minda pada 10 pagi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, seramai 154 mangsa daripada 45 keluarga di daerah itu dibenarkan pulang berperingkat selepas banjir surut.

Katanya, ketika ini, hanya Kemaman yang masih terjejas dengan 920 mangsa daripada 285 keluarga masih ditempatkan di sembilan PPS.

"PPS itu adalah DOR Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih, Surau Haji Othman, Masjid Tebak Batu 16, DOR Felda Seberang Tayor, DOR Pasir Gajah dan Balairaya Padang Kemunting," katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 10:37am
d