mutakhir

Pangkalan baharu Pulau Mabul siap 2024

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Semporna: Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) baharu bakal diwujudkan di Pulau Mabul, di sini, bagi meningkatkan tahap keselamatan kawasan perairan di daerah ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Dr Jamaluddin Mohd Ali dalam kenyataan hari ini berkata, pembinaan projek FOB Mabul itu membabitkan peruntukan RM41 juta.

Beliau berkata, pembinaan projek itu memperlihatkan usaha berterusan kerajaan yang begitu peka dengan keperluan logistik yang serba lengkap dan kondusif bagi menyokong serta menjayakan operasi-operasi pasukan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah.

"Pembinaan FOB Mabul ini adalah projek perintis ESSCOM dan Pasukan Polis Marin (PPM) yang akan berfungsi sebagai markas taktikal dalam mengawal dan memantau tahap keselamatan perairan daerah ini khususnya di kawasan Pulau Mabul dan kawasan sekitarnya.

"Selain itu, pembinaan FOB di pulau Mabul ini juga sekaligus memberi keyakinan mengenai jaminan keselamatan dan ketenteraman kepada para pelancong yang berkunjung ke daerah ini tanpa sebarang kegusaran mengenai tahap keselamatan mereka daripada ancaman luar," katanya pada majlis pecah tanah di tapak projek itu, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Jamaluddin berkata, pembinaan projek FOB Mabul itu bakal disiapkan dalam tempoh 36 bulan daripada tarikh pecah tanah (4 Januari) dan dijangka siap sepenuhnya sebelum diserahkan kepada ESSCOM selewat-lewatnya pada awal Januari 2024.

"Semoga dengan kewujudan FOB ini nanti akan dapat meningkatkan lagi moral dan tahap kesiapsiagaan PPM dan pasukan keselamatan yang lain dalam menghadapi sebarang kemungkinan atau ancaman keselamatan di sempadan perairan negara khususnya di pantai timur Sabah.

"Saya percaya projek ini bakal menjadi nadi kepada jaminan keselaamatan dan ketenteraman awam di ESSZONE disamping bakal menjana pembangunan sosioekonomi penduduk di daerah amnya dan kepada masyarakat di Pulau Mabul khasnya," katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 10:38am
d